Friday 16 January 2015

SOLAT KETIKA SAKIT BERSALIN


Sedikit perkongsian yang diharap dapat memberi panduan buat semua ibu-ibu yang sedang mengandung dan mungkin sedang menunggu hari untuk bersalin.

Seperti yang kita semua sedia maklum solat 5 waktu adalah WAJIB dan hukumnya berdosa jika ditinggalkan tetapi bagaimana pula dengan solat bagi wanita yg sedang sakit bersalin dan sudah pecah ketuban atau keluar tanda (cecair dan darah)? Wajibkah untuk solat? atau tidak perlu lagi untuk solat?

Untuk itu, kita perlu fahami dulu beberapa jenis pendarahan yang keluar semasa hamil.
Darah yang keluar sebelum melahirkan anak adalah merupakan darah istihadhah. Ia tidak termasuk dalam kategori darah haid dan bukan juga darah nifas. Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak)(darah penyakit) yang mewajibkan seseorang itu solat.

Oleh itu seorang wanita yang mendapat tanda-tanda bersalin sama ada keluar darah mahupun sebarang cecair, maka ia masih wajib mengerjakan ibadah seperti biasa.

Cara mengerjakan ibadah solat bagi wanita yang istihadahah adalah :
1) Membersihkan tempat keluar darah tersebut.
2) Memakai tuala wanita
3) Mengambil wuduk dengan segera
4) Solat dengan segera

Sekiranya darah keluar sewaktu sedang melaksanakan ibadah solat, maka ia adalah dimaafkan dan solat tersebut adalah sah.

Bagaimana pula sekiranya pecah ketuban?
Pecahnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi. Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi. Maka jelaslah di sini, ibu mengandung tersebut wajib mendirikan solat walaupun telah keluar air ketuban atau darah lendir tanda mahu bersalin.

Jadi di sini jika si ibu yg sedang sakit masih mampu berdiri dan solat seperti biasa, ibu bolehlah bersolat setelah membersihkan diri. Sekiranya tidak mampu, ibu boleh solat secara duduk atau sekiranya tidak mampu boleh bersolat secara baring.


Rujuk Panduan Solat Bagi Pesakit yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini untuk kaedah solat yang lebih terperinci.

Bagaimana pula jika si ibu terlalu lemah dan tidak mampu untuk membersihkan diri dan tempat solat dari cecair dan darah yg keluar berterusan?
Situasi sebegini dikira situasi darurat yang mengharuskan perkara yang dilarang. Jadi si ibu harus solat secara baring tanpa membersihkan diri, tempat dan berwuduk. Si ibu juga tidak harus menangguhkan waktu solat kerana si ibu dijangka akan bersalin bila-bila masa.

Darah yang mengiringi anak nanti dikira darah wiladah atau nifas. Nifas atau wiladah merupakan hadas besar bagi wanita. Justeru si ibu haram menunaikan solat sepanjang tempoh nifas.

Rujukan & Sumber:
apps.islam.gov.my
sayangislam.com

0 comments:

Post a Comment